Make your own free website on Tripod.com

Ahad Julai 16, 2006

 

 

 

 

malayneo:

Rumah

Artikel

Muaturun

Otai rock

Underground

scene

 

 

Sejarah underground malaysia

 

Sejarah underground di Malaysia ini sudah pun dimulakan oleh segelintir remaja pada lewat 70an dahulu. Mereka pada mulanya lebih terpengaruh kepada muzik Punk setelah banyak membaca majalah-majalah dari England dan juga daripada band The Sex Pistols yang begitu popular ketika itu. Mereka mula mengumpul berita, kaset dan majalah mengenai punk dan mula berhubung dengan scene punk di luar negara untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.

Joe Kidd telah menubuhkan scene punk yang pertama di Kuala Terengganu pada awal 80an, namun pada masa itu hampir tidak ada band yang ditubuhkan secara serius. Mereka hanya bermain gitar kapok sambil lepak di tepi pantai, tetapi pada tahun 1987 terdapat sebuah band di Terengganu yang memainkan irama punk dengan pengaruh thrash metal iaitu Mallaria dan mereka turut merakamkan demo yang tidak diketahui kesudahannya. Selain Joe Kidd dan rakan-rakan di Kuala Terengganu, terdapat juga geng-geng punk yang lain di Kuala Lumpur dan P. Pinang ( Abazz daripada band punk The Karatz ) tetapi semuanya dalam komuniti yang kecil dan tidak mempengaruhi budak-budak lain.
Ketika itu juga telah muncul segelintir pemuzik yang memainkan irama yang lebih keras iaitu thrash metal. Muzik ini dikesan pada sekitar awal tahun 1984 dan mula berkembang selepas lebih kurang dua tahun selepas itu. Antara band metal terawal di Malaysia ialah Punisher, Nemesis, Glottis, Picagari dan FTG. Mereka ini kebanyakannya mendapat pengaruh band-band luar negara seperti Sodom, Kreator, Black Sabbath, Venom, Slayer, Bathory dan King Diamond.
Pada peringkat awal ia tidak dilabel muzik underground kerana tidak wujud suasana bertukar-tukar demo tape, maklumat dan membuat fanzine sendiri. Material-material dari luar negara ( album, demo dan majalah ) masih lagi tidak dijual di sini. Kebanyakannya hanya dibawa oleh pelajar-pelajar di luar negara dan mana-mana mamat yang berminat cuma fotostat dan dubbing sahaja daripada mereka.
Bermula pada tahun 1988, keadaan sudah menjadi semakin hangat apabila sudah ramai remaja yang berminat muzik sebegini. Muzik tersebut sudah mula diklasifikasikan dengan lebih spesifik sperti death metal, industrial, grindcore dan black metal. Kalau sebelum itu jika sesuatu muzik itu lebih berat daripada heavy metal, ianya dipanggil thrash metal. Selain daripada band-band yang disebutkan tadi, sudah ada band yang memainkan muzik yang lebih ganas konsepnya iaitu black metal. Antara band black metal terawal ialah Black Fire, Rator dan Vulga. Pada tahun itu juga sebuah konsert thrash metal pertama kali telah diadakan di Stadium Negara dengan aksi band Punisher, Nemesis, Saxo dan Slap Death. Penonton dianggarkan sekitar 6000 orang walaupun sebelum beberapa buah media tempatan mengatakan konsert tersebut tidak akan mendapat sambutan ekoran daripada jenis muzik yang dibawakan.
Suasana underground mula wujud apabila sudah banyak band mula merakamkan demo, membuat fanzine dan sudah ada gig secara kecil-kecilan. Muzik thrash, black dan death metal telah dilabel sebagai muzik underground. Pada penghujung tahun 1989, Rator telah merakamkan demo mereka yang pertama iaitu 'Evil Symphony' di Hellion Studio, Sil Khannaz juga telah ditubuhkan pada waktu ini. Fanzine juga telah mula wujud dan antara yang terawal ialah Aedes ( Joe Kidd ) dan Thrash Attack ( Aziz ).

Zine Thrash Attack hanya dikeluarkan sehingga isu ke lapan sahaja dan selepas itu Aziz menyambungnya dengan zine Vortex From The East. Ada yang mengatakan zine Aedes ( dimulakan pada tahun 1986 ) merupakan zine underground yang pertama di Malaysia tetapi menurut Joe Kidd sebelum itu sudah terdapat sebuah lagi zine di Terengganu iaitu Huru-Hara. Menurutnya editor zine tersebut hanya diedarkan di kalangan rakan-rakannya sahaja di Kuala Terengganu. Zine Aedes hanya wujud hingga isu ke tujuh sahaja. Zine-zine tersebut pada awalnya hanya ditulis tangan atau ditaip sahaja ( menggunakan manual typewriter ) dan kemudian difotostat serta diedarkan kepada rakan-rakan mereka di dalam dan luar negara.
Sebuah zine dari Ipoh iaitu Krenmaut yang diusahakan oleh Sam ( Batara Guru ), Ajak dan Bearkey juga adalah antara zine yang terawal. Selepas tahun 1993 bermacam-macam zine yang keluar dan boleh dikatakan tedapat di seluruh negara terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang. Antaranya ialah Heartcore, Buddy Holly, Suffer Age, Mukus, Obscure People, Earslaughter, Piss of Mine, Nathias, Verization, Noisy Scene dan banyak lagi. Ada antara zine tersebut yang masih wujud sehingga kini seperti Nathias dan Mukus.
Pada waktu yang sama, scene underground berkembang dengan begitu pesat. Antara yang begitu aktif ialah di Kuala Lumpur, Ipoh, Kuantan dan Pulau Pinang. Pada awalnya hanya muzik metal sahaja yang menduduki 'carta underground' dan begitu banyak diadakan di kelab-kelab. Pada waktu ini sudah banyak band metal ditubuhkan seperti Silent Death, Suffercation, Infectious Maggots, dan banyak lagi. Kebanyakan daripada band-band ini berpusat di Kuala Lumpur dan sering membuat 'meeting' di Central Market. Bandaraya Ipoh juga antara yang paling aktif melahirkan band-band metal yang power. Antaranya ialah Langsuyr, Profane Creation, Necrotic Chaos, Athotorgh dan banyak lagi. Di Sarawak juga terdapat scene yang aktif dengan band metal seperti Senseless, Sputum dan Kremation.
Pada waktu tersebut juga terdapat band black metal seperti Aradia, Nebiras, Bazzah, Hayagriva, Misanthrope, Mistik, Nakaratul Khaum dan macam-macam lagi. Selepas itu wujud bermacam-macam lagi band beraliran metal seperti Narsamum, Infernal Void, Silo, Kerrasuk dan pelbagai lagi band dengan konsep metal yang pelbagai. Kebanyakan daripada band tersebut juga sudah mula merakam album di bawah label-label independen yang wujud untuk menyokong scene underground seperti Dark Journey Records, Ultra Hingax Productions dan Sonic Asylum Records.


Jika disingkap kembali kepada senario hiburan tempatan pada waktu itu adalah tersangat menyedihkan kerana penguasaan golongan karyawan yang tidak punya sensiviti kepada progresi evolusi corak hidup alternatif, golongan muda/remaja. Sebahagian besar karya muzik mainstream yang diciptakan itu perlu berlandaskan kepada nilai komersil dan ini begitu menyesakkan citarasa golongan muda yang ingin sekali mencari kelainan. Sebut sahaja dari segi citarasa muzik, filem mahu pun budaya hidup, jelas golongan anak muda moden mahukan sesuatu yang mungkin tiada nilai komersil langsung tetapi kuat
ciri estetikanya.


Bertitik tolak dari kemunduran dunia muzik tempatan, maka kelahiran aliran corak hidup alternatif melalui dunia muzik dilihat sebagai satu cetusan budaya pop yang menjana pengikutnya sendiri. Pada waktu itu rasanya kemeriahan dan keakraban sesama pengikut 'undergrounders' terasa utuh kerana bersemangat tinggi untuk mewujudkan dunia muzikal mereka sendiri. Tiada sebarang sempadan yang menghalang mereka dari menikmati alunan protes dan kekerasan dari pemuzik bermahzabkan
underground kerana ia turut terkandung bersama cetusan hati dan jiwa pemberontakan remaja pada waktu itu.
Turut sama lahir seiring dengan cetusan ini adalah kepelbagaian corak genre muzik tempatan. Daripada golongan pendengar muzik Melayu yang terkenal sinonim dengan irama leleh maka pencetusan genre muzik dari aliran kumuh Rock n’ Roll seperti Heavy, Speed dan Death Metal bagaikan mantra anak muda. Boleh dikatakan eksistensi gig-gig muzik underground muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan . Walaupun dijalankan secara kecil-kecilan di kelab malam atau pub-pub sekitar kota, namun
kehadiran pengikutnya makin bertambah dan secara tak langsung gerakan ini boleh dikatakan mencapai status 'cult'.
Kemasukan era 90’an, terasa benar-benar memberi impak yang besar. Jelas dari perubahan arah muzikal ketika itu turut sama mempengaruhi gaya hidup terkini dengan kelahiran generation-x yang membuahkan genre muzikal seperti 'alternative', 'grunge','indie', 'brit pop', 'punk', 'skin', 'hardcore' dan pelbagai lagi. Ia bagaikan virus yang pantas menular di kalangan remajasekolah untuk turut sama mengikuti trend muzikal terbaru hasil import dunia hiburan antarabangsa. Kemeriahan begitu terasa,
malah semakin banyak pula band-band gagasan anak muda Malaysia yang hebat wujud pada waktu itu seperti O.A.G, Spiral Kinetic Circus, Carburetor Dung, Butterfingers, Namesis, The Pilgrims, A.C.A.B dan banyak lagi.

Sekitar pertengahan 90'an, industri muzik underground tempatan bagaikan mencapai kemuncaknya kerana semakin banyak penganjuran gig-gig dilakukan di luar daripada ibu kota. Pulau Pinang , Perak dan Johor Bharu turut sama mempunyai pengikut undergrounders tersendiri dan hampir setiap hujung minggu pasti ada sahaja gig-gig yang dianjurkan oleh kumpulan underground tempatan. Apa yang membanggakan adalah kunjungan secara rasmi kumpulan–kumpulan muzik antarabangsa seperti Third Eye Blind dan Fugazi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan bermain muzik di Fire Discotheque. Penganjurannya dilakukan secara serba serderhana tetapi tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak undergrounders Malaysia. Tidak ketinggalan, pergerakan muzik underground Malaysia ini pernah mendapat liputan yang khusus daripada majalah US berpengaruh seperti Rolling Stone. Pada edisi 528, November 1996, wartawan David Wright-Neville menulis satu halaman penuh tentang cetusan kelahiran budaya underground. Boleh juga disemak pada halaman 39, beliau menamakan tajuk artikelnya sebagai "The Rebels of KL: Malaysian subcultures are smashing stereotypes with their own brands of punk rock and grunge." Jadi disini saya mengambil satu petikan komentar beliau berkenaan tajuk di atas. "If there is any truth to the maxim that the more oppressive the dominant culture the more creative the subcultures, then tonight's gathering of punks, skin heads, dreads, and doyen of grunge speaks volumes about modern Malaysia. There are Malays, Chinese, Indians and a smattering of Eurasians, all gathered in an almost celebratory atmosphere which
certainly speaks well of Malaysia's ability to manage its once explosive ethnic mix."
Malangnya pandangan positif diatas tidak selalunya dikongsi bersama wartawan akhbar perdana Malaysia.

Pernah tercetus satu kontroversi yang mengemparkan negara akibat daripada kewujudan budaya underground suatu waktu dahulu. Ia dijadikan satu isu sensasi negara kerana akhbar tersebut menampilkan foto seorang pemuda skin yang sedang asyik berpogo di salah satu gig di
ibu kota. Isu laporannya benar-benar memberikan pandangan yang negatif kepada masyarakat dan secara tak langsung remaja Malaysia dituduh menghadapi krisis moral yang parah. Maka semenjak dari insiden itu juga semakin banyak gig-gig muzik underground diserbu polis atas arahan pihak atasan kerana khuatir dengan tahap keruntuhan moral anak muda. Pelbagai penyakit sosial turut dibangkitkan seraya dengan penglibatan ramai remaja yang gemar mengunjungi gig-gig ini. Semenjak dari insiden itu, maka pergerakan golongan underground menjadi sedikit mundur. Penganjuran gig juga semakin
berkurangan walaupun kadang kala setiap bulan pasti ada juga penganjurannya. Maka dari sini terkesan kemunduran dari segi pengelolaannya dan bertambah parah banyak pula band-band yang menemukan titik noktah berkarya mereka di persada underground. Tambah memeritkan adalah apabila insiden Black Metal yang disensasikan oleh pihak akhbar 2 tahun yang lalu ... Akibatnya senario muzik underground menghadapi kelesuan. Walaupun begitu, untuk mengatakan scene underground telah berkubur adalah satu pernyataan yang mengundang kecelakaan kerana ia masih bernyawa dan akan terus wujud selagi ada golongan generasi muda. Jika diperhatikan sekarang (setelah hilangnya badi insiden Black Metal), senario underground kembali mengelegak. Tetapi intensiti dan penyatuan
kelompoknya tidak seperti pada zaman permulaannya. Kini lebih banyak gig yang dilakukan atas dasar berpuak-puak mengikut genre muzikal yang tersendiri. Tiada lagi ‘unity’ yang sering dilaung-laungkan dahulu. Kalau diukur pula dari segi prestasi dan penguasaan muzikal memanglah amat membanggakan. Begitu ramai pemuzik muda generasi pelapis memiliki penguasaan dan kefahaman yang baik di dalam soal teknikaliti mereka untuk bermuzik.
Dan isu terakhir yang menjadi kudis adalah soal pengurusan sesebuah show,gig atau konsert yang melibatkan nama-nama kumpulan underground. Sikap para penganjur kadang kala amatlah menyedihkan kerana yang dikejar adalah potensi komersil semata. Mereka bijak memanipulasi keadaan atau etika undergrounders bagi memenuhi keuntungan yang membuah kepada poket di samping tidak memandang serius kepada 'equipments' instrument muzik dan juga 'welfare' sesebuah band. Adakalanya
bayaran upah yang diberikan kepada band juga mengecewakan dan hanya cukup makan. Jika dilihat dari sudut kewangan memangbukanlah soal pokok, tetapi setiap dari anggota band-band perlulah diberi imbuhan yang seimbang dengan perkhidmatan mereka menghiburkan khalayak.


Jika keadaan ini berterusan, munkin senario muzik underground tidak mungkin mengalami evolusi sikap dan perubahan yang bolehdibanggakan.